Pages

Thursday, November 5

Esok Tak Akan Sama Tanpamu

Esok Tak Akan Sama Tanpamu

Lewat hari esok, 
Tiada lagi susuk yang setia di sudut itu, 
Melayan rencam kerenah kami tanpa jemu, 
Mengurus keperluan kami umpama sang ibu, 
Menyambut keluh kesah kami dengan senyum mu, 
Sungguh kami pasti akan rindu. 

Entah dah berapa jauh jalan kita lalu, 
Entah dah berapa banyak liku kita tempuh, 
Entah dah berapa kali kita tersungkur, 
Langsung tak pernah kami hitung, 
Dek kerana indahnya detik bersama mu.

Di kanvas terakhir kita bersama,
Kami coretkan lukisan terindah,
Penuh canda dan tawa mesra,
Bercalitkan drama dan air mata,
Hingga habis warna langsung tak bersisa,
Moga nanti kau gantung di dinding sejarah,
Menjadi bukti kita tak pernah berpisah.

Namun esok dah tak akan sama lagi,
Kami ke kanan engkau ke kiri,
Jika memang ini cabang hidup yang  terpaksa kita lalui,
Semoga kita cekal berdiri,
Dengan semangat citra mewangi,
Demi bakti untuk pertiwi,
Mohon jangan kau lupa kami di sini.. 

5 November 2020
Pagoh





Friday, May 15

Guru Insan Hebat

Guru dikata ibarat lilin
Membakar diri menerangi orang lain

Anak murid di tempat pertama
Dirinya entah jatuh nombor berapa

Orang biasa anaknya lima
Guru hebat sekali, anaknya beribu! 

Orang biasa pulang kerja jam lima
Sedang guru bawa pulang kerja ke rumah

Duhai guru, insan hebat
Kata-katamu azimat
Doamu keramat

Terima kasih atas segala jerihmu
Keranamu kami di sini

Doa kami kirim buatmu 
Semoga sentiasa dalam limpah rahmatNya.

Selamat hari guru, cikgu! 
.

Sunday, March 29

Tentang Ikhlas

Ringan di mulut
Berat di hati
Usah disebut
Kelak ia pergi

Ikhlas umpama seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap gelita

Tak terlihat di mata
Namun terasa di hati

Awas teman..
Sekali disebut, ia kabut.

Sunday, March 15

Tetamu Senja

Paksa rela deklamasi sajak waktu farewell ex-boss.

https://youtu.be/uGidOadb3gI

Tajuk: Tetamu Senja
Karya: A. Samad Said

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
 
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
 
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
 
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
 
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat. 


P/s: Sajak ini juga telah dilagukan oleh kumpulan Kopratasa