Pages

Wednesday, June 25

Kelemahan Peniaga Kecil


Assalamualaikum. Salam Sejahtera. Salam Perpaduan. Salam 1 Malaysia. Terima kasih kerana sudi melawat ke blog saya. Semoga anda semua sihat dan bersemangat hari ini.

Bermodalkan sedikit pengetahuan dan pengalaman, hari ini saya cuba kupaskan topik mengenai kelemahan peniaga kecil dalam berniaga di negara kita. Peniaga kecil sebenarnya adalah antara golongan peniaga yang paling bersemangat pada awal ketika hendak memulakan perniagaan. Saya katakan demikian kerana bukan mudah nak berniaga. Nak berniaga ni kena ada modal, kena ada produk, kena ada premis, kena ada pekerja, kena ada kepakaran dan macam-macam lagi. Bukan mudah. Bukan semua orang boleh berniaga. Berbanding perniagaan besar, mereka majoritinya berkumpulan atau syarikat yang telah berpengalaman lama atau syarikat francais yang mana strategi dan pengurusannya telah teratur. Jenama produknya mungkin sudah terkenal. Modalnya mungkin sudah besar. Oleh sebab itulah saya kata peniaga kecil ni adalah golongan yang paling bersemangat ketika diawalnya. Kerana bukan sikit cabaran yang perlu diharungi untuk memulakan perniagaan dengan serba kekurangan.

Warung legend Pak Jabit dalam cerita Hantu Kak Limah

Terus kepada topik mengenai kelemahan peniaga kecil, berikut adalah antara kelemahan yang telah saya kaji melalui pemerhatian dan pengalaman.

1. Pengurusan Tunai Yang Lemah

Pengurusan tunai adalah sangat penting dalam berniaga kerana ia mengandungi modal dan keuntungan. Setiap pembelian barang, hasil jualan, kos minyak kenderaan dan pembayaran bil utiliti perlu dicatat secara tepat dan konsisten kerana ianya penting untuk menentukan berapa jumlah keuntungan. Wajib diingat bahawa keuntungan adalah tunai selepas hasil jualan ditolak dengan semua jumlah perbelanjaan. Daripada keuntungan tersebutlah baru boleh diambil duit upah atau gaji kita. Sejumlah tunai juga perlu diketepikan untuk dijadikan modal pusingan harian. Yang jadi kelemahan adalah apabila konsep ini tidak difahami. Duit keluar masuk tidak dicatat. Duit hasil jualan digunakan untuk membeli barang lain yang tidak berkenaan dengan perniagaan dan bersifat peribadi. Anak-anak bebas mengambil barang jualan tanpa dicatat. Ini semua adalah satu kesilapan.

Contoh warung kecil

2. Takut Bersaing Secara Sihat

Peniaga kecil ramai yang takut bersaing secara sihat. Apabila ada orang lain membuka perniagaan yang sama di sekitarnya, dia jadi marah dan gelisah. Takut pelanggan lari, takut rugi. Dia jadi negatif. Akhirnya ada antara mereka yang masam muka sesama sendiri, tidak bertegur sapa dan yang paling teruk menggunakan khidmat bomoh untuk menjatuhkan perniagaan pesaing. Ini adalah satu kelemahan yang serius. Sepatutnya persaingan diambil secara positif. Persaingan adalah satu peluang untuk kita meningkatkan kualiti dan prestasi perniagaan. Beri pekhidmatan yang lebih baik, tawarkan harga yang lebih berpatutan dan tonjolkan kelebihan perniagaan kita. Inilah contoh persaingan yang sihat. Bersaing bukan untuk menjatuhkan satu sama lain, tetapi bersaing untuk sama-sama memajukan perniagaan masing-masing.

3. Mengabaikan Kebersihan

Kenapa kebersihan dikatakan sebahagian daripada iman? Ini kerana kebersihan mencerminkan sikap dan diri seseorang individu tersebut. Kebersihan menunjukkan tahap integriti seseorang peniaga. Peniaga yang menjaga kebersihan premis perniagaannya akan disenangi oleh pelanggan. Kebersihan juga sangat berkait rapat dengan kesihatan. Premis yang kotor boleh mengundang bau-bauan yang tidak enak dan haiwan perosak seperti lipas dan tikus. Semua orang tahu natijah buruk yang dibawa oleh haiwan perosak ini. Selain itu, premis yang berhabuk dan berdebu juga mendatangkan bahaya kepada pelanggan dan peniaga itu sendiri. Bagi peniaga warung atau gerai makanan, tong sampah yang dibiarkan terbuka adalah satu kesilapan. Tong sampah perlu sentiasa bertutup dan dibuka apabila hendak digunakan sahaja. Ia bukan sahaja tidak sedap dipandang mata, malah juga boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.

Makcik berniaga barang segar di pasar. Tapi tak letak tanda harga

4. Mengabaikan Promosi

"Perlu ke perniagaan kecil melakukan promosi?" "Banyak modal nak pakai." "Modal dah habis buat beli barang niaga, tak cukup bajet nak buat promosi." Selalu saya jumpa macam ni. Kenapa? Sebab tak ada ilmu atau bahasa halusnya jahil ilmu pemasaran. Promosi ni bukannya suruh buat potongan harga, jualan murah, buat banner tulis promosi, buat iklan kat surat khabar, tv, radio segala. Promosi adalah cara kita memperkenalkan perniagaan kita kepada pelanggan dan bakal pelanggan serta pembekal. Macam mana? Yang pertama kedai kena ada signboard. Kalau belum mampu nak pasang signboard, gantunglah banner. Tulis nama kedai cantik-cantik biar orang lalu-lalang baca. Benda cantik orang suka. Nanti orang singgah. Pasang lampu untuk terangkan ruang dalam kedai. Pelanggan suka masuk kedai yang terang. Rasa selamat. Kipas wajiblah ada. Takkan nak biar pelanggan kita berpeluh dalam kedai kita. Cat kedai dengan warna terang dan menarik. Ini semua promosi. Promosi ni adalah cara kita untuk tarik pelanggan.

Peniaga di pasar malam

5. Melanggar Undang-Undang

Perniagaan di Malaysia dikawalselia melalui beberapa akta dan peraturan. Ia adalah untuk memastikan perniagaan yang dijalankan beretika dan menjaga kepentingan pengguna. Semua undang-undang yang dikuatkuasakan mempunyai tujuan dan hikmah yang baik kepada peniaga dan pengguna iaitu pelanggan. Antara peraturannya adalah memiliki lesen perniagaan yang sah daripada SSM dan majlis perbandaran, menghadiri kursus penyediaan makanan dan mendapat suntikan vaksin daripada pejabat kesihatan, mematuhi peraturan tanda harga, alat timbang dan kawalan bekalan daripada KPDNKK, mematuhi peraturan kawalan tembakau daripada KASTAM, mematuhi peraturan pengambilan pekerja asing, mematuhi peraturan KWSP dan PERKESO serta pelbagai lagi peraturan lain yang berkaitan. Signifikasi pematuhan undang-undang ini adalah untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap perniagaan kita yang mana kesannya akan menyebabkan kerugian kerana terpaksa membayar denda, kemungkinan premis disita dan sebagainya.

Peniaga menggunakan konsep karavan

6. Penyakit Hangat-Hangat Tahi Ayam

Penyakit ini memang serius. Ketika awal berniaga bukan main lagi bersemangat. Kedai cantik dan bersih. Mulutnya ramah, senyuman lebar dan rajin bertegur sapa dengan pelanggan. Waktu perniagaan sentiasa ditepati. Tetapi bila sudah lama berniaga, sedikit demi sedikit dia mula berubah. Semuanya dah mula ambil mudah. Ini sangat merbahaya. Perniagaan adalah sesuatu yang diharapkan dapat berterusan. Sayang sekali, bertahun-tahun kita membina jenama, menarik pelanggan, mengukuhkan perniagaan, tetapi bila kita mula bersikap ambil mudah, hangat-hangat tahi ayam, akhirnya perniagaan kita akan merosot dan akhirnya mungkin akan lingkup! Peniaga perlu ingat kembali detik-detik awal dia mula berniaga. Bagaimana semangatnya ketika itu. Bagaimana dia mengharungi bermacam-macam cabaran dan halangan untuk menguatkan semula semangatnya yang luntur.

Peniaga yang kreatif. Lain dari yang lain

7. Ilmu Pelaris

Dalam banyak-banyak kelemahan yang saya rungkaikan, ini yang paling parah. Bila mana seorang peniaga telah menggunakan ilmu pelaris ke atas perniagaannya, dia ibarat telah terjerumus ke dalam gaung ciptaan sendiri. Sebab ilmu pelaris ini adalah amalan syirik. SYIRIK. Ilmu pelaris ni bahasa halus. Bahasa kasarnya adalah ilmu sihir. Ia mungkin menggunakan ayat-ayat jampi yang tidak difahami, khidmat jin, najis atau benda-benda kotor yang semuanya adalah haram. Syirik bermaksud kita menyekutukan Allah dengan perkara-perkara lain. Kita tak percaya pada kuasa Allah. Nak lariskan perniagaan sepatutnya minta pada Allah bukan minta pada bomoh. Apa kesan syirik pada perniagaan? Nombor satu perniagaan dah tak berkat. Hasil yang diperoleh dari perniagaan dah jadi haram sebab bercampur amalan syirik. Apa kesan makan duit haram? Masyaallah! Bertaubatlah sebelum terlambat. Buang semua amalan-amalan yang tak betul. Berniagalah dengan bersungguh-sungguh untuk majukan perniagaan. Minta pada Allah, bukan dengan bomoh.

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya huraikan. Mungkin ada lagi tapi saya tak nampak. Kalau ada bolehlah dikongsi di ruangan komen untuk pengetahuan dan kebaikan kita bersama. Apa yang saya tulis ni adalah pendapat saya sendiri. Jika ada yang tersalah silap saya mohon ampun dan maaf dan mohon tegurlah saya untuk kita sama-sama perbaiki.

Wallahualam.


No comments:

Post a Comment